Muhd. Kamil Ibrahim's Blog

November 13, 2012

Maal Hijrah

Hari ini, 5.35 petang masuklah tahun baru 1434 hijrah jika berada di Madinah.


Di Malaysia dan kawasan berhampiran, masa 5 jam lebih awal. Saya ucapkan, selamat tahun baru. Semoga Allah merahmati dan memberkati hidup kita semua di dunia dan akhirat.


Ia satu hari yang pasti berlalu. Samada ia menjadi hari yang signifikan atau tidak terpulang kepada diri sendiri. Ia hanya sempadan masa. Hakikatnya, ia hari-hari biasa yang pasti beredar.


Usia saya bertambah setahun lagi. Opss… ia hanya tambahan sehari berbanding semalam. Wajah semalam dan hari ini nyata tiada perbezaan ketara. Saya mengadap cermin. Benar, tiada apa-apa yang membezakan dengan hari semalam.


Namun jika saya melihat photo setahun yang lepas, nyata ia perubahan yang sangat signifikan. Malah jika saya kenangi diri beberapa tahun yang lampau, saya fikir tubuh saya sangat bertenaga berbanding sekarang.


Juga, jika saya melihat Mak, saya tidak dapat membezakan secara ketara perubahan fizikal beliau apabila berada di sisi. Namun kita ia nyata berbeza. Sangat berbeza


Maksud saya, tahun baru akan tiba setiap tahun. Ia tidak akan membawa erti jika kita hanya membanding – apa sahaja – dengan hari semalam.


Cara mudah, lihat dan kenangilah hari tinggal yang semakin susut. Ia hari yang tidak dapat ditelah dengan sempurna. Entah besok ianya berakhir!


KOSMO


Mereka menyiarkan rencana khas tentang hijrah yang telah saya dan keluarga lalui – inyaAllah – pada keluaran 15 November bersamaan 1 Muharam.


Saya difahamkan begitu.

2 likes ·   •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on November 13, 2012 19:14

Ia tidak wajib

Benar, banyak perkara yang saya sarankan bukanlah suatu yang wajib. Tidak berdosa jika tidak melaksanakannya.


Solat berjemaah di masjid….. tidak ia tidak wajib (walaupun ada pendapat yang berlawanan).


Puasa sunat, bangun malam, baca quran dan terjemahannya, kesemuanya tidak berdosa jika tidak dilakukan. Ibadat haji yang wajib dilakukan adalah sedikit sangat.


Jika berduit banyak perkara tidak perlu bersusah-susah. Bayar sahaja Dam! Ia tidak berdosa.


Saya terkelip-kelip mendengar pandangan ini. l rest my case!


Niat Termakbul


Saya membeli Dodge (7 seaters) kerana memikirkan jemaah haji dan umrah yang mahu ke rumah kami di Jabal Uhud.


Malam tadi kes klasik!


Saya fikir telah bersetuju untuk membawa 7 tetamu ke rumah. Muhana, bekas pelajar UiTM Segamat semasa saya menjadi pengarah diberi layanan istimewa.


“Prof kami berlima. Emak, Ayah, Abang dan kakak ipar”


“OK,” jawapan ringkas saya. Otak saya ligat berfikir dengan nama lain yang telah saya persetujui untuk hadir, Haji Zainuddin dan isteri dari Perak.


“Amirul kena ambil teksi dan bawa dua tetamu pulang ke rumah,” begitulah apabila jumlah tetamu melebihi 4 orang. Itulah had biasa.


Bila sampai di kereta, saya melihat seolah-olah terlebih orang. “Eh… kenapa tujuh?”


“Kami berlima,” jelas Muhana.


“Saya Mazidah. Ini ayah saya. Prof janji hari ini…”


MasyaAllah…. “minta maaf, kecuaian saya. Saya terlupalah tu…”


Lalu kesemuanya menaiki Dodge. 4 di belakang, 4 di tengah dan 2 di hadapan. Alhamdulillah, selamat sampai ke RKDJU.


Saya berbisik, “Yang, cukup tak nasi?”. Seperti biasa Chef akan menyatakan, “InsyaAllah cukup…”


Jadi, malam tadi amat meriah. Saya mempunyai 9 tetamu. Tazkirah berlangsung hampir satu jam. Bila dihidangkan makanan, saya sendiri kehairanan kenapa ia masih berlebih walaupun tetamu makan dengan penuh semangat.


Agaknya ia nasi berkat!


pssss…. diam-diam Amirul ke restoran membeli dua ekor ayam panggang tambahan!

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on November 13, 2012 00:22

November 10, 2012

Makan atau tidak?

Nampak macam OK saja......


Pak Haji ini merupakan tetamu haji kami.


Menu malam tadi pula, Maqloobeh hasil karya Roza. Pak Haji merenung nasi sedulang ini.


Alhamdulillah. Ia pengalaman merasai masakan Arab di Jabal Uhud.


Hati Tenang


Saya rasa tenang di sini. Begitulah ucapan tanpa ditanya seorang anak muda yang berada di sisi semalam. Saya membiarkan kenyataan itu tanpa respons kerana solat Isya sudah mahu dimulakan.


Subhanallah, Imam membaca surah Al-Fajr sepenuhnya melalui dua rakaat.


Usai sahaja solat, saya capai I-Pad dan terus menekan perisian al-Quran. Saya skrol mencari surah yang dibaca iman dan membacakan maknanya bagi ayat-ayat terakhir yang sudah melekat di hati sanubari. Maksudnya begini,


(Setelah menerangkan akibat orang-orang yang tidak menghiraukan akhirat, Tuhan menyatakan bahawa orang-orang yang beriman dan beramal soleh akan disambut dengan kata-kata): Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya!


Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu)!


Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaku yang berbahagia, Dan masuklah ke dalam SyurgaKu!


Adik, jiwa yang tenang adalah ahli syurga. Kita hanya berada di Madinah hanya lapan hari. Jika jiwa tenang hanya ada di Madinah, maka bagaimana kehidupan kita selebihnya bila berada di Malaysia?


Jiwa kita perlu tenang walaupun di Malaysia. Bagaimana? Adik cubalah bangun malam, bermunajat, berdoa dan solat. Cubalah sentiasa mengingatiNya sebagaimana kita berada di Madinah.


Amalkan puasa sunat. Bacalah al-Quran dan fahami maknanya. InsyaAllah, hati yang tenang akan muncul tidak kira di mana kita berada.


Saya tidak dapat menerangkan dengan kemas dan teratur kerana ada tetamu menunggu di parking 11A. Namun kenyataan seringkas itu ditekuni dengan bersungguh.


Benar, terpancar di wajahnya riak ketenangan di jiwa. Sesuatu yang tidak ada pada saya ketika sebaya dengannya.


Ya Allah, Kau ampunilah dosa-dosa kami, dosa-dosa isteri dan anak-anak, guru-guru dan kaum muslimin dan muslimat. Jadikan anak muda ini sebagai anak yang soleh. Temukan kami disyurgaMu.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on November 10, 2012 12:12

Hujan

Pandangan tingkap RKDJU



Madinah hujan. Sekali di sebelah petang semalam. Kurang-lebih 10 minit. Kemudian, di sebelah subuh. Ia agak lama. Air langit yang turun menyebabkan ruang bawah tanah rumah di sekitar sini menakung air tersebut.

Ia seolah-olah banjir kilat.


Kami ke universiti tetapi dimaklumkan cuti bencana!


Saya dan Roza tersenyum. Sudah beberapa kali universiti kami ditutup kerana pelbagai sebab alam. Sebelumnya kerana ribut pasir. Kedua kerana cuaca terlampau panas dan penyaman udara tidak berfungsi. Dan kini kerana hujan terlampau lebat mengikut standard di sini.


Namun ada sesuatu yang pasti. Pohon-pohon di kiri kanan jalan ke pejabat kelihatan berseri-seri. Nampak kehijauannya yang berbeza.


Malah kami semua gembira menerima hujan. Benarlah firman Allah melalui surah Al-Room, ayat 48 yang bermaksud,


“Dialah Allah Yang mengirimkan angin, lalu angin itu menggerakkan awan dan Allah membentangkannya di langit menurut yang dikehendakiNya, dan menjadikannya bergumpal-gumpal; lalu kamu lihat air hujan keluar dari celah-celahnya; maka, apabila hujan itu turun mengenai hamba-hambaNya yang dikehendakiNya, tiba-tiba mereka menjadi gembira”


Malah saya keseronokan dapat menggunakan wiper kereta apabila bergerak menunaikan solat subuh. Hampir setahun berlalu, inilah kali kedua alat tersebut berfungsi.


Namun hujan ini sebenarnya membawa signal kehebatan dan kebesaran Allah SWT. Air langit ini cukup-cukup untuk setahun bumi Madinah beroperasi. Ia disukat dengan betul, InsyaAllah.


Kedua, ia mengkhabarkan betapa musim panas berakhir dan akan bermula pula musim sejuk. Ia sudah terasa begitu.


Subhanallah.


Rezeki

Puan Shamsiah Puad menguruskan urusan buku Bukan Sekadar Resepi



Allahlah yang memberikan rezeki. Ia datang pelbagai cara. Ada istilah, “rezeki yang tidak disangka-sangka”.

Begitulah. Kami menerima khabar yang buku Bersyukur Saat Diuji dan Bukan Sekadar Resepi terpilih dalam skim TAWARAN PEMBEKALAN BUKU SECARA PEMBELIAN TERUS DARIPADA PENULIS oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM).


Ia skim membantu penulis mendapat hasil yang lebih lumayan. Jumlah yang ditempah juga di sekitar 500 naskah setiap satu.


Ini adalah kali kedua saya ditawarkan selepas PNM membeli buku Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman sebanyak hampir 1000 naskah beberapa tahun yang lampau.


Kami bersyukur di atas segala nikmat yang telah diberiNya. Terima kasih juga buat Puan Shamsiah Puad yang membantu kami.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on November 10, 2012 01:01

November 9, 2012

Nasihat

Agaknya beliau mengikut gurunya.


Saya menerima panggilan on-line dari Melaka. “Prof, tolong pujuk anak murid prof supaya beliau menerima jawatan yang ditawarkan. Beliaulah yang paling layak. Karakternya sesuai”.


Beliau sudah dewasa. Orangnya sentiasa takut kepadaNya. Takut tidak terpikul tanggungjawab yang diamanahkan.


Lalu jika terbaca entri ini…. terimalah tanggungjawab ini semata-semata kerana Allah. Terimalah. Berbaktilah kepada agamamu.


Saya mendoakan agar Allah permudahkan.


Di jarak yang berbeza, saya juga menerima SMS kurang-lebih maksudnya begini, “Mu tolonglah tarbiah kawan kita, biar lembut hatinya untuk akur dengan arahan bos, nanti panjang ceritanya”.


Juga, mereka semua sudah dewasa. Ada yang tidak mahu berkuasa. Ada yang mahu bertaut dengan kuasa. Kuasa adalah coklat enak lagi berperisa.


Diam-diam biar saya berdoa,


Ya Allah berikanlah yang terbaik buat mereka yang kami kenali. Biarlah mereka hampir kepada Mu. Takut dan gentar. Menginsafi dengan segala nikmat yang telah Engkau anugerahkan. Ampunilah mereka ya Allah.

1 like ·   •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on November 09, 2012 05:58

November 7, 2012

Anekdot Madinah



PROLOG

Saya tahu Wan sangat berbangga dengan anak lelaki sulungnya. Setiap kali wan bercerita pasti ada air yang bertakung di mata. Wan selalu menyebut yang anaknya itu bersekolah di MRSM sejak dari tingkatan satu.


Namun hubungan dengan keluarga sangat rapat. Ketika bersama di dapur, Wan sering bercerita kisah-kisah lucu suami semasa kecil. Ia kekal dalam ingatan seorang ibu.


Abang Kamil anak yang patuh dan mendengar kata. Masa Wan sibuk menjahit baju, dialah mengenjut buaian Shaiful. Hatinya mahu bermain bersama kawan-kawan tetapi akur dengan suruhan Wan.


Allah, Allah ya Allah. Setiap kali Wan bercerita, ingatannya jauh berbalam-balam ke zaman kanak-kanak suami. Ia pula sangat logik. Itulah masa mereka bersama.


Hanya 11 tahun. Selebihnya suami berada di asrama, universiti dan bekerja. Dan akhirnya wan menyatakan hasrat hatinya yang terpendam,


“Nanti – InsyaAllah – Wan mahu menunaikan UMRAH bersama Roza dan abang Kamil. Nanti kita pergi sama-sama”


“InsyaAllah Wan. InsyaAllah,” namun impian Wan tidak pernah menjadi kenyataan.


Roza Roslan

Bukan Sekadar Resepi

Aroma antara Benua


MONOLOG


Tentu Abe ingat lagi sewaktu berhadapan Kaabah, Abe bertanyakan Na apa yang arwah Wan bercerita tentang Abe?


Na tidak menjawab soalan tersebut dan biarkan ianya berlalu pergi. Hari ini – dalam kesempatan ini – ingin Na kongsikan supaya ia direkodkan betapa arwah sangat berharap dan berdoa agar dapat mengerjakan umrah bersama-sama Abe. Ia tidak pernah berlaku ketika arwah hidup.


Benar, DIA Maha Mendengar. Doa seorang ibu yang murni tercapai sekarang walaupun ketika berada di alam lain. Dengan izin Allah, arwah sentiasa dihadiahkan umrah oleh Abe sekarang. Abe Mil, tentu arwah Wan sedang bergembira di sana dengan adanya Abe yang terus mewakafkan diri pada kebaikan.


Abe, teruslah mengajak manusia melakukan kebaikan. Nanti – InsyaAllah – rahmat dan kasih sayang Allah bersamamu. InsyaAllah juga ia mampu buat Wan dan ayah tersenyum puas di alam sana. Biar bercahaya tempat persinggahan mereka.


Azlina Ibrahim


SEMANIS KURMA

Malam ini, jika tiada masalah teknikal – dengan keizinan Allah – saya akan berkomunikasi melalui siri Semanis Kurma. Ia terbitan TV9.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on November 07, 2012 11:14

November 6, 2012

Meraikan Tetamu

Tetamu pertama pasca haji 2012


Jemaah Tabung Haji mulai sampai di Madinah. Bermakna, kami juga akan berjumpa dan meraikan sebahagian kecil daripada mereka di Masjid Nabawi dan rumah kami di Jabal Uhud.


Saya juga sudah menerima jemputan untuk bertemu dengan jemaah di hotel-hotel penginapan di dalam kumpulan yang lebih besar.


Ia sesuatu yang saya nanti-nantikan.


Bertemu dengan jemaah pasca rukun dan wajib haji sangat signifikan. Mereka lebih santai, mudah ketawa dan terlupa yang mereka perlu mempertahankan haji mabrur buat tempoh yang panjang.


Penekanan penyampaian juga harus berbeza.


Ia semakin kukuh berdiri


Hanya Allah yang Mengetahui perasaan saya apabila melihat wajah terbaru masjid yang sedang memasuki fasa terakhir pembinaan.


Ia impian dan harapan ramai orang yang mahu projek ini berjaya direalisasikan. Berdoalah, InsyaAllah Dia akan permudahkan.


Kami mohon keampunan Allah.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on November 06, 2012 17:39

November 5, 2012

Haji dari Madinah

Penduduk tempatan – secara rasmi – dibenarkan menunaikan fardhu haji sekali dalam tempoh lima tahun. Peraturan ini terpakai kepada kesemua penduduk termasuklah rakyat luar yang mempunyai iqamah atau permit residen.


“Siapa yang menunaikan fardhu haji,” saya bertanya pelajar apabila melihat salah seorang daripada mereka berkepala botak.


“Saya, Mutaz dan Shar,” Rakan memaklumkan.


“Berapa kos menunaikan fardhu haji dari sini?”


“SR10 000″.


“Berapa hari?”


“7 hari, saya pergi selasa dan balik selasa minggu berikutnya”.


“Cuba ceritakan bagaimana kaedahnya, InsyaAllah saya mahu pergi tahun hadapan”.


“Kami bertolak terus ke Mina. Tinggal di sana. Kemudian ke Mekah, balik ke Mina. Arafah, Mudzalifah dan Mina. Kami melakukan thalul awal, tawaf wida’ dan balik”.


Namun kosnya berbeza-beza mengikut pakej yag ditawarkan. Ia bermula dari SR4500 hingga entah… namun ia proses yang mudah. Tanpa hotel.


Lalu saya terkenangkan bagaimana saya menunaikan fardhu haji dari Malaysia. 46 hari, tinggal di hotel, dengan makan dan minum terjaga.


Benar, rukun dan wajib haji perlu disempurnakan dalam tempoh yang singkat.


Namun saya bersyukur kerana perjalanan haji tersebut memberi saya banyak masa untuk “berlatih”, “merenung” dan “memikirkan” apakah yang mahu saya lakukan apabila pulang ke Malaysia.


Dengan kos RM8000+++, saya menghargai nikmat tersebut.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on November 05, 2012 08:09

November 4, 2012

Saya mahu menulis buku ini….. tidak habis-habis

Apa ada pada nama?


Namun jika ada yang bertanya, “di mana anda dilahirkan?,” maka pantas-pantas saya akan menyebut, “Bintang, Besut, Terengganu”. Saya bangga tempat kelahiran saya bernama Bintang walaupun ia langsung tidak dikenali dan hanya meninggalkan satu titik ringkas dalam kisah perjalanan kehidupan yang sangat panjang.


Bintang bercahaya di waktu malam. Ia sayup-sayup berada di angkasa raya. Kadangkala ia berkelip-kelip. Ada ketikanya ia diam membatu. Jika diperhatikan dengan bersungguh-sungguh, kelihatan bintang di langit sentiasa berada di tempatnya. Bintang sangat signifikan dalam kisah Nabi Ibrahim mencari Tuhannya.


Dan demikianlah Kami perlihatkan kepada Nabi Ibrahim kebesaran dan kekuasaan (Kami) di langit dan di bumi dan supaya menjadilah dia dari orang-orang yang percaya dengan sepenuh-penuh yakin.


Maka ketika dia berada pada waktu malam yang gelap, dia melihat sebuah bintang (bersinar-sinar), lalu dia berkata: “Inikah Tuhanku?” Kemudian apabila bintang itu terbenam, dia berkata pula: “Aku tidak suka kepada yang terbenam hilang”.


Namun saya tidak lahir di angkasa raya. Tempat kelahiran saya hanyalah di sebuah rumah kecil bersebelahan anak sungai di Kampung yang tertulis dengan nama Bintang. Tok Wan saya pernah bercerita,


Bila malam sunyi akan terdengar tap…. tap…. tap… tap…. bisikan air sungai mengalir. Ia menyejukkan telinga dan rasa.


Ayah saya seorang guru lulusan darjah lima. Ibu yang saya panggil Wan (namanya Wan Fatimah) merupakan suri rumah sepenuh masa. Sebelum kelahiran saya, mereka sudah mempunyai tiga anak perempuan. Bayangkanlah kegembiraan ayah dan Wan menyambut ketibaan anak lelaki pertama.


Menurut cerita, nama saya – Kamil – diambil sempena nama bekas speaker dewan parlimen, Nik Ahmad Kamil. Saya tidak tahu kenapa ia menjadi pilihan ayah. Namun saya bersyukur kerana ia membawa pengertian yang baik. Sekali lagi mungkin orang bertanya, “apa ada pada nama?”. Saya fikir ia penting untuk setiap manusia mempunyai nama yang baik-baik kerana ia panggilan seumur hidup, nama yang akan dikenang atau tercatat atau nama yang akan dibawa sehingga ke syurga.


Saya sudah pandai membaca ketika usia 5 – 6 tahun. Pada usia tersebut saya tinggal di kawasan sekolah rendah. Setiap pagi saya bermain-main di kawasan sekolah, mengikut tukang kebun membersihkan kawasan dan bila kebosanan berdiri pada tingkap kelas memerhatikan murid-murid belajar. Ia rutin harian.


“Kamu mahu belajar?,” seorang guru bertanya. Saya teruja. Akhirnya saya mempunyai tempat di dalam kelas tersebut. Bila pulang ke rumah, saya ceritakan kepada Wan (panggilan kepada ibu) apa yang berlaku di sekolah. Saya mahu uniform sekolah. Saya mahu kasut putih. Saya mahu belajar dan saya mahu serupa dengan mereka yang lain.


Saya masih ingat beberapa detik penting ketika itu. Pertama, saya mahu pandai. Di rumah saya pastikan saya membaca buku-buku, melakukan kerja rumah dan bersiap sedia untuk ke sekolah. Tiada siapa yang memaksa. Kedua, saya mahu mengatasi pelajar-pelajar lain. Saya budak kecil tetapi mahu mengatasi mereka. Imbasan-imbasan kenangan ini melekat – datang dan pergi – bersama kenangan-kenangan lain yang agak kabur.


Hasilnya – ketika memasuki sekolah rendah – saya sudah dikira cemerlang. Ukuran saya sendiri. Sudah pandai membaca, menulis dan mengira. Saya bukan pelajar berwajah takut-takut dan gelisah ditinggalkan oleh ibu bapa mereka pada hari awal persekolahan.


“Mil, bila cikgu tanya siapa yang mahu jadi ketua kelas, angkat tangan. Angkat tinggi-tinggi,” pesan ayah sebelum meninggalkan perkarangan Sekolah Rendah Tengku Mahmood. Ia pesan yang saya patuhi. Namun guru kelas tidak berminat dengan saya. Ada pelajar lain yang kelihatan lebih pandai, cergas dan aktif. Akhirnya saya dilantik hanya sebagai penolong ketua darjah.


Saya kecewa tetapi akur. Apa yang boleh saya lakukan dengan jawatan tersebut? Cita-cita saya mahu menyebut, “selamat pagi cikgu,” yang diikuti oleh 40 pelajar lain pastinya tidak kesampaian. Hanya ketua kelas yang boleh melakukannya. Ada sekali saya cepat-cepat bangun dan menyebut ucapan tersebut walaupun ketua kelas tidak sakit ataupun hilang suara.


Puas hati saya!


Saya melangkau kelas dengan beberapa rakan yang lain. Darjah dua dan tiga hanya setahun. Kelas kami dinamakan kelas X-Press. 2X, 3X dan 4X. Kemudian kami digabungkan dengan pelajar tidak X-Press untuk menghadapi peperiksaan penilaian darjah 5 yang akan menentukan sama ada berjaya ke sekolah berasrama atau pun tidak. Kelas terbaik dinamakan kelas 5A. Ia diikuti dengan kelas 5B, 5C dan 5D.


Saya suka sukan. Kepandaian utama bermain bolasepak. Buktinya, saya satu-satunya pemain sekolah yang berjaya mewakili daerah Besut ke pertandingan di peringkat Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Terengganu (MSST) ketika di dalam darjah enam. Pasukan kami menjadi juara seluruh Terengganu.


Selain bolasepak, saya mewakili pasukan sepak takraw sekolah. Ia tidak cemerlang. Begitulah sukan-sukan lain yang hanya berada pada paras purata. Boleh bermain tetapi tidak menyerlah. Saya suka bermain ping pong, badminton dan mahu terbabit dalam sukan olahraga. Ia tidak membawa saya ke mana-mana.


Namun ayah sangat-sangat menyokong saya terlibat dalam bersukan. Beliau sering berada di tepi padang ketika pasukan sekolah saya berlawan dengan pasukan lain. Beliau bangga apabila saya terpilih mewakili pasukan daerah. Malah ayah sering membawa saya ke Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Syah di Kuala Terengganu dan Stadium Sultan Mohamed di Kota Bharu menyaksikan Piala Malaysia.


Ayah melayan minat saya terhadap permainan bola sepak.


Persekolahan rendah saya ditamatkan dalam tempoh lima tahun. Kemudian saya mendapat tawaran ke tiga buah sekolah asrama penuh, Sekolah Menengah Sains (MRSM), Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).


Bolehlah…. Ia permulaan kisah yang sangat panjang!

1 like ·   •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on November 04, 2012 09:36

Sedikit tidak mengapa

Air zam-zam percuma, gelasnya juga percuma


Hampir setiap laluan di masjid Nabawi disediakan air zam-zam percuma. Malah disediakan dengan gelas percuma.


Tahun lepas saya melihat Sofea membawa pulang beberapa gelas ini ke rumah.


“Kenapa ambil gelas ini?’


“Kita boleh guna di rumah”


“Itu namanya mencuri. Jangan. Gelas ini ada kegunaannya kenapa ia disediakan”.


Saya kasihan bila melihat ada yang membawa pulang gelas yang hanya beberapa sen untuk digunakan di hotel atau di rumah. Kasihan kerana tidak merasa apa-apa kerana ia kelihatan percuma.


Kasih

Ada teman yang sangat saya kasihi. Sesekali saya membuat panggilan.


“Prof saya sedang bermain golf. Bertaruh sikit-sikit tidak mengapakan….”


Saya sedih. Namun saya ketawa sambil di dalam hati berdoa agar janganlah sahabat ku ini mempersendakan hukum Allah.


Saya tidak mampu menyampaikannya secara lisan namun saya catatkan melalui penulisan.


Ia sedikit tetapi mengapa.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on November 04, 2012 01:52

Muhd. Kamil Ibrahim's Blog

Muhd. Kamil Ibrahim
Muhd. Kamil Ibrahim isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Muhd. Kamil Ibrahim's blog with rss.