Terima kasih semua..

Semalam, 14 Ogos 2011.



Hari terakhir kami berada di rumah itu. Rumah kecil yang letaknya terperesuk di pinggir kampung. Kampung yang sudah lali di landa banjir.



Rumah itu kami namakan Ar-Raudhah. Mengambil sempena nama kelahiran yang diberikan oleh atok abah dan mak wa [nenek] kepada saya. Raudhah @Raudzah.. Nama yang tidak disukai semasa kecil kerana jahil. Walaupun atok abah berulangkali bercerita tentang kelebihan Raudhah.. [yang letaknya berhampiran dengan tempat persemadian Rasullullah] saya masih tidak mahu terima. Tiada erti bagi orang yang tidak mengerti.



“Panggil saya Raudzah atau Roza. Atau boleh juga panggil saya Kak Ngah kerana saya anak ke dua dalam keluarga.”



Bangsa budak perempuan bebal yang cetek ilmu. Tidak faham bahawa nama yang baik-baik itu merupakan suatu doa. Sedikit sebanyak nama itu memberi kesan kepada tuan empunya badan.



Semalam kami membersihkan Ar-Raudhah agar sesiapa juga selesa menggunakannya nanti. Sambil memberus dan mengemop lantai, hati berbisik:



“Ya Allah..daku bersihkan rumah ini kerana-Mu, sebagaimana nabi Ibrahim menbersihkan kaabah itu kerana-Mu. Kurniakan cahaya, kasih sayang dan rahmat-Mu ke atas rumah ini.



Lapangkan dada mereka yang menguruskan rumah itu. Imarahkan, limpahi barakah dan jadikan itu tempat hamba-Mu menimba ilmu yang bermanafaat. Jauhi ia dari orang-orang yang berniat jahat. Amin.”



Esok, hari terakhir saya berada di universiti. Jika ada yang bertanya apakah yang bakal saya lakukan di Madinah Munawarah nanti. Saya akan katakan kepada mereka;



“Maaf, saya sendiri tidak tahu. Jangankan esok malam ini pun saya tidak tahu apakah yang terjadi. Jangankan malam ini, sebentar nanti pun saya tidak tahu apakah yang akan berlaku.”





Jika ada yang terus bertanya:



“Puan akan sambung ke peringkat Phd?”



“Subhanallah! Barangkali tidak. Impian itu telah berlalu kerana masa telah berlalu.”



Jumut sangatkah saya? Atau riyak kah saya..jika diluahkan apa yang terpendam di dalam dada, yang tersumbat di dalam hati nurani. Kalau boleh saya mahu menyatakan begini;



“Saya hanya mahu menziarahi masjid Nabawi setiap hari. Tunduk sujud rebah kepada Allah, beritikaf di dalamnya. Sesekali berbicara di samping Rasullulah dalam Raudhah. Tempat yang sering diceritakan oleh arwah atok abah. Atau duduk sahaja di rumah menulis sebanyak-banyaknya..mudah-mudahan tulisan itu menjadi ilmu yang bermanafaat.”



Dan jika tergamak, saya akan berkata lagi;



“Terima kasih semua kerana mendoakan yang terbaik untuk kami. Doakan dengan izin-Nya agar kami bersemadi di sana dan mudah-mudahan dibangkitkan bersama Rasulullah nanti..”




 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on August 14, 2011 17:23
No comments have been added yet.


Raudzah ''Roza'' Roslan's Blog

Raudzah ''Roza'' Roslan
Raudzah ''Roza'' Roslan isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Raudzah ''Roza'' Roslan's blog with rss.