Semakin dekat..

"Alhamdulillah..bersyukur kita kepada Allah kerana dipinjamkan sehari lagi bagi kita menghela nafas, mengerdipkan mata dan mengerakkan tubuh anggota. Diberikan kesempatan kita bersama orang tersayang.. Kerana esok tiada siapa yang tahu. Jangankan esok.. malam inipun kita tidak dapat mengetahui apakah yang akan terjadi. Jangankan malam ini..sebentar nanti pun kita tidak tahu apakah yang akan berlaku."

Tiba-tiba terpacul keluar barisan ayat yang diilhamkan oleh Allah bagi dikongsikan bersama dalam satu majlis persatuan wanita.

"Sehari lagi Allah pinjamkan nyawa kepada kita bermakna titk permulaan dari tarikh kelahiran yang ditinggalkan semakin jauh. Masa yang tersisa semakin singkat. Mari kita merenung diri.. sudah bersiapkah kita untuk menemui-Nya?"


Hati jadi sayu dan terkedu apabila pengerusi majlis bertanya tentang biodata diri sebelum perkongsian pengalaman dimulakan.

"Boleh kami tahu latarbelakang diri dan apakah kekuatan puan dalam memberi ceramah ini?"
Saya menyoal diri," Ya Allah..kenapa daku di sini?"

"Er..saya bukan siapa-siapa. Orang biasa-biasa. Tiada pangkat, tiada darjat. Kudrat inipun hanya Allah pinjamkan sementara sahaja.. Maaf, jika puan fikir majlis ini tiada manafaatnya dan mengambil masa.. puan boleh batalkan sahaja."

Saya sedar diri. Hampir satu jam menunggu kehadiran peserta lain membuatkan jawatankuasa tertinggi resah gelisah. Mereka menyandar hampa. Sesekali SMS telefon bimbit berbalas jawab. Laptop uzur saya semakin ketara uzurnya. Terkelip-kelip dan bila-bila masa sahaja kehabisan bateri. Namun, melihat rakan saya yang tiada kena mengena dengan persatuan itu berusaha keras menyediakan AV sistem, mencari wayar penyambung.. saya rasa bersalah, lalu berserah diri kepada Allah.


"Puan.. technician tiada di pagi minggu ini.. Tak ada laptop dan LCD pun tidak mengapalah..puan cakap sahaja apa yang mahu disampaikan. Kami mahu segera pulang ke rumah untuk memasak"



Begitulah yang diucapkan oleh salah seorang ahli majlis tertinggi persatuan wanita itu. Barangkali tinggi darjat dan pangkatnya. Saya kasihan melihat rakan yang berusaha keras mahu majlis itu direalisasikan, berubah wajahnya.

Saya mohon keampunan dan kekuatan dari Allah. Sedar, itu sebahagian dari ujian. Barangkali agak keras juga ucapan saya kali ini apabila menceritakan sedikit pengalaman berpesatuan.


"Puan-puan yang saya muliakan..Tahukah puan bahawa wajah-wajah yang hadir di sini adalah insan terpilih. Di pilih oleh Allah. Pernahkah puan terfikir kenapa setiap seminar, majlis dan program persatuan hanya muka-muka sama sahaja yang menghadirinya? Hanya segelintir.. Jadi benarlah Allah berfirman, di akhirat nanti wajah orang beriman dapat di lihat. Wajah mereka bertanda dan bercahaya. Sedangkan di dunia pun telah ditunjukkan perumpamaannya.."
Saya melihat mereka yang mulanya tidak menunjukkan minat, tiba-tiba mengambil perhatian.

"Ya Allah, kenapa puan-puan berada di sini? Sedangkan di rumah puan ada amanah yang telah dipertanggungjawabkan oleh Allah..sebagai isteri, ibu, anak kepada ibubapa dan barangkali juga sebagai nenek kepada cucu.."

Saya sambung lagi.

"Jadi..apa perlu puan di sini? Apa tujuan puan di sini? Bukankah kita di cipta Allah sebagai khalifah di muka bumi agar menyembah dan beribadat kepada Dia yang maha kuasa? Jadi.. jika puan terpilih menjawat jawatan tertinggi, dengan pangkat, darjat dan kuasa..apakah itu dapat mendekatkan diri kita kepada Allah yang mencipta? Menjadikan setiap urusan yang dilakukan tidak lain melainkan sebagai suatu ibadah ikhlas kerana Allah dan semakin tunduk rebah menyembah-Nya?"

Semakin celupar mulut saya.

"Hebat sangatkah kita? Dan ingatlah suatu hari nanti kita pasti akan menemui-Nya. Allah akan bertanya tentang tanggungjawab yang di sandang oleh kita. Barangkali..orang bawahan yang tiada pangkat serta darjat itu lebih mulia di sisi Allah berbanding dengan kita. Jika apa yang mereka lakukan ikhlas...serta gentar dengan kemurkaan Allah."

Bicara saya mula mengendur.

"Jadi...lakukan sesuatu itu ikhlas kerana Allah bukan kerana mereka. Kerana amanah Allah kepada kita.."

Astaghfirullah! Maafkan saya kerana terkasar bahasa. Saya memang sentiasa mengelak diri untuk di panggil berbicara. Barangkali Allah lebih mengetahui apa yang tidak saya ketahui apabila saya menyoal diri," Ya Allah..kenapa daku di sini?"
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on July 31, 2011 16:58
No comments have been added yet.


Raudzah ''Roza'' Roslan's Blog

Raudzah ''Roza'' Roslan
Raudzah ''Roza'' Roslan isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Raudzah ''Roza'' Roslan's blog with rss.