Pengampu
Di ruang legar lobi hotel lima bintang, seorang lelaki paling dibenci masyarakat sedang duduk di kerusi. Seluar, kemeja, topi malah kasut serta stoking serba putih. Pada hari tertentu sahaja lelaki itu memastikan penampilannya istimewa. Ia seumpama kod yang memudahkan dia dikenali. Tiada sesiapa yang duduk di sebelahnya. Pekerja hotel meletakkan dirinya jauh terasing dari pandangan orang ramai. Pemilik hotel dimaklumkan kehadirannya melalui interkom. Maka dia harus mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh masyarakat. Tempat untuk lelaki itu terhad di mana-mana sahaja dia berada. Dia menjalani hidupnya di dalam jalur sosial tersendiri. Ini lokasi yang dipilihnya selain di dalam pejabat atau di kafe berkelas tinggi. Tidak sesekali di dalam kelab malam. Dia bukan penggemar minuman beralkohol atau kaki perempuan. Maka, penampilan luaran menjadi cerminan tahap profesionalisme. Tiada seorang pun penduduk di kota metropolitan beridentiti sedemikian termasuk penjilat yang lebih gemar berpakaian kasual. Kedudukannya lebih tinggi berbanding batu api atau pengadu domba. Kadang-kadang dia kelihatan seperti cendekiawan. Dia membaca akhbar dan sekejap-sekejap matanya melilau. Ternyata lelaki itu mencari seseorang atau mungkin menunggu peluang. Segelas jus tomato tinggal separuh di meja. Kesabaran amat penting kerana ia menentukan paras kematangan. Walaupun sedikit berusia, dia tetap kelihatan muda. Tanpa misai dan janggut. Malah tekstur wajah lelaki itu tegang dan berseri-seri di balik kebencian masyarakat kepadanya. Namanya Pengampu. Bergerak secara bebas hampir dua puluh tahun. Tiada alamat syarikat. Tidak sebagaimana agen 007, dia melakukan tugasan secara alamiah. Kepandaian yang ditempa melalui pengalaman yang panjang dan tidak mudah. Tiada sebarang alat teknologi pintar dibekalkan di dalam mana-mana poket pakaiannya. Dia tidak perlu melakukan penyamaran. Tidak menjadi kemestiannya untuk turut terlibat dalam politik di negara asing. Untung sabut, timbul. Untung batu, dia bakal terbenam. Pengampu membina reputasi dengan kaedah bersistematik. Semua lapisan masyarakat menganggapnya sebagai ciptaan Tuhan yang menjijikkan. Lebih berbahaya berbanding penyamun wang rakyat dan penipu yang sering bertalam dua muka. Kewujudannya tidak ubah seperti kuman di balik makanan. Jika dia dilihat berada di dalam monorel, semua penumpang memilih untuk keluar. Jika dia datang dalam suatu majlis keraian, hadirin segera beredar dengan muka masam. Sebagai manusia biasa, dia berasa tersinggung dengan persepsi masyarakat. Pekerjaan tetapnya justeru mengampu tokoh-tokoh dalam kalangan elit yang berpotensi memulangkan limpahan material kepadanya. Dia tidak menerima elaun atau gaji bulanan. Semua orang maklum maklumat awam sebegitu. Zaman telah berubah, maka dia juga harus menyesuaikan diri dengan keadaan semasa. Adaptasi. Tiada lagi dialog lama seperti: “Wah! Cantiknya baju yang Tuan pakai.” Percayalah, ucapan sedemikian hanya menjadi bahan tertawa orang lain. Tidak mungkin dia memperoleh ganjaran seperti seutas jam tangan mahal atau gelaran kenamaan. Status pekerjaan dipilihnya tidak mudah diceburi. Tiada borang untuk diisi. Ia bukan seperti yang ditayangkan dalam drama-drama di televisyen. Minat untuk mengampu datang kepadanya secara semula jadi. Tiada sesiapa yang memaksa. Bahkan tidak dipengaruhi oleh apa-apa kecenderungan. Dia melakukan aktiviti demikian kerana menyahut tuntutan dalaman. Sebagaimana seorang seniman yang mesti berkarya untuk kepuasan seni. Sebaliknya masyarakat terlalu mudah menghukumnya hanya kerana berbeza perspektif. Setiap manusia memiliki keinginan masing-masing. Tidak ramai manusia sanggup mengampu namun lebih ramai manusia yang inginkan pujian. Namun dia sedar. Mengamalkan pendekatan lama pada masa sekarang, tidak mungkin menjamin kejayaan. Teknologi dan sistem moden telah mengubah landskap pemikiran sesebuah bangsa. Dia menimba segala jenis pengetahuan melalui pembacaan. Duduk berjam-jam lamanya di perpustakaan. Setiap hari dia menemui manusia-manusia yang berbeza fahaman. Dia harus memiliki senjata ampuh di dalam setiap tindakan. Sekurang-kurangnya memiliki kemahiran dalam jurusan linguistik atau ilmu psikologi. Ia menggantikan ilmu penunduk yang biasa diamalkan oleh golongan pengampu suatu ketika dahulu. Muslihatnya mesti berada jauh di atas daripada fikiran si mangsa. Sambil duduk menunggu, lelaki itu memesan secawan lagi coklat panas. Lihatlah kedudukannya sekarang. Dia mengecap nikmat kesenangan hasil daripada pekerjaan yang tidak ingin dilakukan oleh manusia biasa. Dia boleh meruntuhkan pegangan seorang melalui kata-kata manis. Itulah jarum ajaib yang akan ditusuk perlahan-lahan di dalam hati tokoh elit. Semakin tinggi iman seseorang itu, semakin rumitlah usahanya. Tetapi dia yakin, manusia sentiasa lemah mengikut fitrah semula jadi. Jika tidak seminit, dia tetap sabar menunggu sehingga setahun. Perjalanan awal yang dilaluinya sebagai pengampu amat memeritkan. Jarang dia berjaya dalam setiap misi. Dia terpenjara. Iklan tentang keburukan golongan sepertinya dipasangkan secara meluas ke pengetahuan awam. Hidupnya melarat menanggung hutang. Modal digunakan lebur tanpa sebarang hasil. Dia dilemparkan dengan pelbagai tuduhan yang memalukan. Dia didakwa menggoda isteri orang. Sering dihitamkan sebagai perosak akhlak generasi muda. Malah dikutuk sebagai pengkhianat negara. Kemudianlah baharulah dia terfikir untuk mengubah penampilan diri. Salah satu cara yang paling berbaloi ialah memantapkan isi kepala dengan ilmu. Ya, melalui ilmulah manusia dipandang tinggi. Dia boleh menilai apa yang sedang berada dalam setiap fikiran orang lain. Dan dia tahu, siapakah mangsa yang bakal dikejar. Setelah lama terbenam di bawah label musuh nombor satu masyarakat, lelaki itu kini bangkit perlahan-lahan seperti fajar pagi. Dia menghirup coklat panas yang baharu sampai. Dia mengerling pada jam tangan. Jenama Omega. Bukan dari pemberian menteri atau hasil dari siri mengampu. Namun hadiah daripada seseorang yang ingin menuntut ilmu daripadanya. Dia menerimanya dengan senang hati. Kelak, suatu masa nanti, pada hari-hari persaraan, dia bakal menubuhkan sebuah institusi yang serba lengkap tentang pengajian dalam bidang mengampu. Seminar pemikiran, pembentangan kertas kerja, teori dan amali serta siri-siri dialog akan diusahakan. Besarlah harapannya agar aktiviti mengampu diakui sebagai lambang ketinggian tamadun bangsa. Jika sesebuah negara boleh menerima golongan perasuah, penyamun dana kerajaan atau pemimpin kuku besi, maka, tidak salahnya aktivis pengampu diberi kedudukan yang setara. Sambil tersenyum sendirian, lelaki itu menghirup sisa coklat. Sudah hampir sejam dia duduk di situ. Bak menunggu individu yang turun dari lapisan langit. Tidak mengapa. Dia sudah berpengalaman menghadapi kerenah golongan atasan. Apabila masyarakat boleh menerima kewujudan orang sepertinya dengan tangan terbuka, sudah tentu ia melambangkan kemajuan cara berfikir. Dia akan memudahkan segala liku-liku birokrasi yang pernah dialami dahulu. Tiada lagi caci maki dan sumpah seranah ke atas orang seperti dirinya. Diberi kerusi yang diletakkan bersama-sama dengan masyarakat. Malahan memiliki kad perniagaan untuk diberi kepada pelanggan yang ingin mendapatkan khidmat nasihat. Sikap berbelah-bahagi pihak awam untuk menerima golongan pengampu tidak seiring dengan perkembangan dunia mutakhir. Tetapi harapan sedemikian masih suatu fantasi. Kenyataannya masyarakat lebih senang bergaul bersama-sama penjilat, hipokrit dan penyangak dalam kehidupan harian. Menjadi pengampu secara terang-terangan masih gagal meyakini orang ramai. Prosedur-prosedur yang terpaksa dilaluinya amat berat dan kompleks. Tidak semua orang boleh menerimanya sebagai sahabat. Bahkan dia sendiri dipulaukan oleh keluarga dan saudara-mara. Memperkenalkan diri sebagai pengampu juga tidak ubah seperti mengaku sebagai pesalah tanpa sebab. Di dalam negara sedang membangun, dia belum lagi diterima sebagai sebahagian daripada budaya norma. Sebagaimana sebahagian negara menolak LGBT atau pluralisme agama. Masyarakat memang bijak berlagak suci di balik topeng. Walaupun demikian, dia juga dikehendaki oleh sebilangan kecil tokoh tersohor. Seimbang. Kemunculannya, tetap relevan ketika para penjilat, penyamun dan talam dua muka gagal menjalankan misi mereka. Selamat datang ke dunia sebenar. Itulah keistimewaan eksklusif yang tidak mungkin dinikmati oleh orang kebanyakan. Dia boleh minum petang bersama-sama dengan individu kehormat negara. Menerima surat undangan sebagai tetamu dalam acara rasmi dalam istana dan duduk di kerusi di sebelah para pembesar menteri. Bukan seumpama lintah yang tidak tahu malu terus menghisap darah, dia melakukan pekerjaannya perlahan demi perlahan tanpa meninggalkan sebarang kesan. “Sabar,” katanya selalu mengingatkan diri. Semua manusia mempunyai darjah egonya masing-masing. Apa yang perlu dipupuk ialah kesefahaman antara kedua-dua pihak. Dan ia bergantung sebesar mana saiz ganjaran yang disasarkan. Jika berkehendakkan sekadar sebuah tapak warung jualan di tepi jalan, jelas itu bukan standardnya ketika ini. Dia seorang pengampu yang beretika. Tidak semua tokoh elit ingin didampinginya. Dia pemilih yang menolak untuk bersikap tamak. Jangan tunjukkan kepada masyarakat betapa terdesaknya golongan pengampu. Sangat jarang menemui mana-mana pengampu beradab seperti dia. Selain tahu menjaga imej sendiri. Bahkan mempunyai beberapa sijil, diploma, ijazah kedoktoran (dengan kepujian) serta lesen yang melayakkan aktivitinya. Tidak sebagaimana pandangan umum, dia tidaklah sejahat yang disangka. Dia muncul dalam kempen anti Zionis dan lain-lain kempen tentang kesedaran hak asasi manusia. Dia sentiasa berada di depan penderitaan masyarakat. Masyarakat memang mudah terangsang emosi apabila berhadapan dengan isu-isu sensasi mainan media massa. Di situlah dia kerap mencelah diri. Bukan berniat menyombongkan diri, dia kecewa dengan beberapa pengampu generasi baharu yang langsung tidak berkelulusan. Ingin segera kaya. Tidak menghormati orang-orang yang lebih tua. Gelojoh dan mengekori tokoh-tokoh elit seperti langau. Jika boleh, mereka ingin terus duduk di atas kerusi di sebelah para pembesar dan menteri. Dan tetap menganggap kerja mengampu dari sorotan negatif. Perspektif sebegitu salah. Di samping tidak menjaga kebersihan diri. Nafas berbau busuk dan pakaian tanpa diseterika. Tiada sesiapa dari kalangan tokoh elit sanggup bertahan dengan pengampu-pengampu amatur sebegitu. Tiada sivik. Kosong mentaliti. Mengampu bukan semata-mata untuk mendapatkan pangkat, tender, kedudukan dalam parti atau projek. Menurutnya, cabaran ditempuhi sepanjang mengampu lebih hebat berbanding mendapatkan mata kemenangan untuk pingat Olimpik. Ia menggabungkan seni, taktikal, sains, ketepatan masa dan sasaran. Tiada kerahan tenaga kudrat. Jauh daripada itu, pengampu harus menyucikan dirinya daripada sanjungan peribadi. Jangan diikut resmi para penjilat dan perompak wang rakyat. Mereka sentiasa ingin dianugerahi segala bintang kebesaran. Percayalah, tiada sesiapa yang bakal mengalungkan rantai bunga ke leher si pengampu. Sehingga kini dia tidak pernah diberikan ucapan terima kasih. Dia bukan seorang artis. Dia tidak meminta segala pujian kosong sebegitu. Harga diri amat penting buat pengampu. Dia meletakkan kad namanya di depan kemeja sebagai pengenalan diri. Pada setiap kali urusan bermula, maka tokoh elit yang cuba dipengaruhi berasa yakin dengan agenda lelaki itu. Hidup di dalam masyarakat yang berpura-pura, dia tahu perbuatannya itu dituduh sekadar menunjuk-nunjuk. Sebagai pengampu berpengalaman, dia tahu bagaimana mencairkan hati tokoh elit secara matang dan perlahan-lahan. Bermula dengan secawan kopi dan sehiris kek di dalam sebuah kafe. Tidak perlu bertindak bodoh atau tergesa-gesa dengan menggunakan pendekatan klise. Tindakan sedemikian hanya merendahkan martabat. Tokoh-tokoh elit kontemporari tidak sukakan pujian yang mengada-ada. Disebabkan itu pentingnya pengetahuan awam yang luas. Cukup panjang untuk disenaraikan siri kejayaannya. Anda tidak mungkin berpeluang melihatnya di mana-mana media konvensional atau di internet. Lelaki berwawasan besar seperti dia tahu bagaimana hendak menghilangkan diri sesudah selesai menakluki hati tokoh-tokoh elit. Tidak mungkin dia mengampu kepada tokoh elit yang sama buat kali kedua. Itu merupakan petuanya. Disebabkan itu dia segera memencilkan diri. Dia tidak akan mendedahkannya di kedai kopi. Sebaliknya berbaring dengan selesa di tepian pantai di seluruh dunia dan menikmati keindahan alam. Mengampu suatu pekerjaan tertua sebagaimana pelacuran. Lelaki itu bangkit dari kerusi. Dia menuju ke bilik air. Individu yang ditunggu-tunggunya masih belum menampakkan diri. Hampir empat jam dia melekat di kerusi dan menghabiskan tiga jenis minuman. Kesabarannya kekal seperti batu di dalam hati. Ramai manusia gagal dalam hidup kerana tidak berupaya menangani kerenah orang lain. Dia memang jarang membuat temu janji terlebih dahulu. Urusan sedemikian hanya merosakkan suasana santai yang menjadi kebiasaannya ketika mengampu. Dia pernah menunggu sehari suntuk dan pulang tanpa sebarang pertemuan. Keesokan hari dia datang semula dan tidak juga bertemu tokoh elit yang bakal ditawan. Itu merupakan asam garam. Setiap orang ingin menjadi seperti dirinya. Terutamanya orang-orang muda yang ingin hidup dalam kelompok kelas menengah. Memperoleh pendapatan berjuta-juta. Memiliki rumah besar dan terlindung di bawah imuniti khas. Namun ia sangat sukar untuk dicontohi. Orang-orang muda yang berdarah panas, tahunya marah dan memberontak sepanjang masa. Disebabkan itu, dia belum bersedia menubuhkan institusi yang khusus kepada bidang mengampu. Di samping mengenali secara personel dengan mangsa sasaran, setiap calon pengampu mesti sanggup mengorbankan wang ringgit. Belajar, mengikuti kuliah-kuliah di universiti dan rajin membaca. Ia menjana ilmu dan integriti diri. Sebaliknya orang-orang muda lebih suka akan hiburan dan telefon pintar. Dia pernah mengadakan siri temu duga buat bakal pelajar-pelajar yang bakal diserapkan ke dalam institusi nanti. Sayangnya, calon pengampu amatlah pemalas untuk menghadiri diskusi ilmiah. Soalan-soalan yang mudah gagal dijawab. Ada di kalangan calon-calon temu duga tidak mengenali individu-individu terpenting negara. Tidak suka mengorbankan diri dengan segala cabaran. Menolak untuk berbicara tentang buku namun sering benar berlagak serba pandai di laman sosial. Bagaimana mereka hendak mempengaruhi sasaran mangsa yang jauh lebih bermaklumat? Dia bimbang andai aktiviti mengampu yang dilakukan selama ini hanya tinggal sejarah tanpa pewaris yang berkebolehan. Bayangkan sebuah negara tanpa pengampu. Sudah tentu akan berlaku perkara yang tidak seimbang. Umpama bangunan tanpa bekalan elektrik. Lelaki itu menyedari akan kepupusan golongan pengampu yang berkaliber. Pernah dia membincangkan hal itu dalam pertemuan dengan para pengampu di peringkat tempatan dan antarabangsa. Apa harus dilakukan untuk mengekalkan tradisi itu? Sudah tiba saatnya mengampu mesti diiktiraf sebagai sebahagian daripada teras budaya. Dia menyampaikan ucapan dalam seminar. Menulis beberapa artikel dan menerbitkannya dalam bentuk buku. Namun kesemua tulisannya dibakar oleh pihak perpustakaan. Ia dianggap penyesat fikiran manusia. Para pengampu lain pula terdiri daripada mereka yang telah lanjut usia. Berfikiran konvensional dan amat primitif dalam segala hal. Pada usia yang sebegini, dia masih tekal menjalankan aktiviti demi kelangsungan warisan mengampu itu. Bukan kerana dihambat nafsu atau dipaksa oleh pihak lain. Dia tinggal di sebuah pangsapuri yang serba moden. Itu sudah memadai kepadanya. Dia tidak perlukan kediaman menyerupai istana, sebuah pulau persendirian atau beberapa almari pakaian dan kasut. Dia kurang berminat dengan mentaliti menunjuk-nunjuk di kalangan para penjilat, penyamun dan batu api. Mereka semua aktor yang boleh membawa pelbagai watak. Namun dia tidak. Dia rela memperkenalkan diri sebagai pengampu melalui kad yang disematkan di depan kemeja. Dengan pendekatan sedemikian, dia tahu, sasaran mangsa akan menerimanya dengan layan kelas pertama. Lelaki itu merenung cawan kosong di atas meja. Apa yang perlu diputuskan sekarang. Terus menunggu atau pulang ke rumah dan kembali semula ke sini pada keesokan hari? Petang tinggal sisa di luar hotel. Dia tidak memiliki kenderaan. Setiap kali berurusan, dia menggunakan pengangkutan awam. Memang benar, tokoh-tokoh elit tidak akan ditemui berada di dalam monorel, kereta api, bas atau teksi. Tidak sebagaimana di negara-negara asing. Namun di tempat sedemikianlah dia mencanai ilham dan taktikal baharu. Di tempat orang ramai berada, dia memerhati tingkah laku manusia. Dari dahulu sehingga sekarang, manusia tidak pernah berubah. Sudah tiba masa mengupah seorang penulis untuk membuat biografi tentang perjalanan hidupnya. Barangkali ini misi terakhirnya. Dia ingin melakukannya dengan penuh bergaya. Jika dia berjaya menakluki fikiran beberapa tokoh pembesar dan menteri, sudah tentu tidak menjadi kesukaran kepadanya untuk menawan hati seorang wanita yang ditunggu-tunggu di ruang legar hotel. Ya, seorang wanita. Seorang wanita biasa dan bukan siapa-siapa di dalam pandangan masyarakat. Bukan seorang artis namun hanya pekerja hotel yang pertama kali mencairkan hati lelakinya. Bahkan tidak memiliki harta semewah ahli-ahli perniagaan yang datang dari rancangan kronisme. Misinya pada kali ini ternyata berbeza. Tidak serupa dengan apa yang pernah dilakukan sebelum ni. Ia lebih menjurus kepada kehendak naluri kelakiannya. Wanita yang mungkin suatu masa nanti, bakal memberikan cinta. Suatu pulangan batin yang tidak pernah diraih dan itulah paling menyukarkan sekali. Jika berjaya memperoleh apa yang dihajati itu, maka, segala aktiviti mengampu, akan ditutup buat selama-lamanya. Tuhan, semoga dipermudahkan.
Published on February 17, 2014 01:00
No comments have been added yet.
Roslan Jomel's Blog
- Roslan Jomel's profile
- 25 followers
Roslan Jomel isn't a Goodreads Author
(yet),
but they
do have a blog,
so here are some recent posts imported from
their feed.
