Faisal Mat Zawi's Blog: membaca puisi

May 23, 2017

Ulasan Adilla Abd Rahim untuk Malam Persembunyian

Faisal nampak begitu selesa dalam percubaannya mempersoal agama sebagai candu rencam label ini. Antara yang mengesankan, dalam Doa Perkahwinan, Beliau memerhatikan seorang wanita Kristian yang sedang “berlutut di depan altar/ (…) –O Tuhan yang kudus/ dia merintih dengan tangan di dada/ ingatan dosanya terbeban di lutut”. Setelah keluar dari kamar pengaduan, wanita ini mempersoal kembali ‘keberkesanan’ aduannya kepada Tuhan yang mungkin tidak dapat memahami gejolak hidupnya kerana Tuhan barangkali seorang lelaki.

Pemuisi muda ini begitu sedar dan berjaya memanipulasi praktik tradisi sesuatu agama untuk menyampaikan makna yang lebih besar. Puisi Nyanyian antara lain, segar dan cerdik—pembaca secara automatik diberi capahan makna yang lebih besar apabila melihat pembinaan fizikal dan amalan ritual di sesebuah rumah ibadat pasca membaca puisi ini:

Kita pun tergesa-gesa
dengan pahat dan tukul di tangan
mengukir ketakutan
menjadi tuhan

*ulasan penuh boleh dibaca di web SelangorKini: goo.gl/obRhng
2 likes ·   •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 23, 2017 23:44

June 23, 2015

Hujan April Bengaluru

Hujan April Bengaluru
(di siarkan di akhbar SelangorKini 13 Jun 2015)

Ada hujan di atas kepalaku
ia terlewat tiba
Bengaluru baru saja musim bunga

ada kenangan bertakung di mulutku
kenangan tajam menikam-nikam
pelipis mata
ia tak mengerti
apakah aku menangis atau kehujanan.

Faisal Mat Zawi
B.E.L Road, Bengaluru.
2 likes ·   •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on June 23, 2015 10:51

June 4, 2015

Bagaimana membaca puisi: Lari ke Pulau

O: Kita akan membaca sajak Lari ke Pulau (disiarkan di Berita Minggu, 31 Mei 2015 yang lalu).

Lari ke Pulau

Aku lari ke pulau Dewata
tapi yang ku lihat
orang-orang mabuk arak
di pasar tawar-menawar
bahagian tangan dan kaki dewata
ditanda harga

Aku lari ke pulau Dewata
mendengar kitab disyairkan
orang buta tak tahu membaca

Faisal Mat Zawi, Bangalore.

1. Latarbelakang. Ini serupa dengan memahami asbabun nuzul dalam al-quran. Maksud sajak kadang-kadang boleh ditangkap dari tajuknya, atau latar dalam sajak itu sendiri.

2. Sesiapa yang biasa membaca Rumi, Gibran, atau Hamzah Fansuri pasti lebih mudah memahami sajak ini. Sebab sajak ini ditulis dengan maksud yang sama dengan syair Hamzah Fansuri.

3. Hamzah Fansuri, ulama dari Acheh abad ke 17 menulis, Hamzah Fansuri di dalam Mekah/ mencari Tuhan di bait al Kaabah/ dari Barus ke Qudus terlalu payah/ akhirnya dijumpa di dalam Rumah.

4. Rangkap pertama sajak Lari ke Pulau cuba meletakkan pembaca dalam situasi yang sama dengan Hamzah Fansuri di Mekah.

5. Ada sesetengah orang yang berziarah ke tempat ibadat dengan harapan mencari tuhan (pulau dewata) untuk disembah. Tetapi di sana mereka temui orang-orang yang sudah menjadikan agama seperti syarikat perusahaan untuk meraih kekayaan, seperti hotel termahal di dunia di mekah contohnya. Bahkan agama sudah menjadi ritual dan barang dagangan, kehilangan adab. Bahkan dewata (tuhan) sendiri sudah dicerai-ceraikan dan dijual (seperti dalam filem rajkumar hirani, pK)

6. Rangkap akhir menunjukkan kesan dari apa yang berlaku. Akhirnya kitab suci hanya jadi mentera yang dihafal tanpa difahami maksudnya dengan harapan ada kuasa ajaib. Jadilah kita orang yang hidup tanpa panduan. Seperti orang tersesat di padang pasir pada waktu malam, kerana dia tak tahu membaca arah bintang.

Wallahu'alam
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on June 04, 2015 04:32

April 19, 2015

Old Yellow Bricks dan diri kita yang tertinggal dalam kenangan.

Old yellow bricks,
Love's a risk,
Quite the little Escapologist
Looked so miffed,
When you wished,
For a thousand places better than this,

"semua orang tahu WWE tak real! tapi mereka tetap datang stadium untuk tengok stunt."

Lebih kurang begitu kata Simon dan Peter dalam temuramah dengan Jad Abumrad dalam episod podcast, La Mancha Screwjob. WWE dan WWF atau apa sahaja rancangan gusti yang lain ialah industri hiburan. Dalam lingkungan pemain industri gusti, peminat yang bijak dan tahu apa yang berlaku di atas gelanggang sebenarnya ikut skrip dipanggil 'smart Mark'.

'Smart Mark' tahu yang bila kereta limo McMahon meletup dalam satu episod WWE, sebenarnya itu cuma gimik syarikat. Tapi 'smart Mark' tetap akan terkinja-kinja dan menangis kegembiraan bila Vince McMahon muncul atas gelanggang seperti ikon religi yang dihidupkan semula.

Dan sebenarnya memang hal gimik kematian Vince McMahon diumumkan oleh beliau sendiri di atas gelanggang. Jadi kenapa penonton 'smart Mark' tetap menghabiskan masa di depan tv atau dalam stadium.

Sebab manusia ialah makhluk yang aneh. Kita lebih selesa hidup dalam khayalan dan kita jadikan khayalan itu sebagai eskapism daripada dunia realiti kita yang rakus seperti serigala lapar. Sekarang kita akan baca lirik lagu Old Yellow Bricks dari Arctic Monkeys, dan lihat bagaimana kita menolak realiti dan diri kita telah tertinggal dalam kenangan.

Baris pertama, 'Old yellow bricks' merujuk kepada jalan batu-bata kuning dalam novel The Wonderful Wizard of Oz. Dalam novel dan filem, Dorothy guna jalan berbatu-bata kuning itu untuk ke Emerald City.

Rangkap pertama secara keseluruhannya bercerita tentang seorang anak muda yang berasa bosan dan jelek dengan hidupnya. Dia mahu melarikan diri dari persekitarannya, dia mahu cuba sesuatu yang baru. Dia rasa kalau dia ialah petani yang hidup di Amerika pada abad ke-19, dia berdoa supaya ada ribut puting beliung yang akan bawa dia ke Land of Oz. Sebab dia bosan dengan hidup dia sekarang. Sebab boleh jadi zaman remaja ialah fasa krisis eksistensial hidup kita.

You are the fugitive,
But you don't know what you're running from,
You cant kid us,
And you couldn't trick anyone,
Houdini, love you don't know what you're running away from,

Who wants to sleep in the city that never wakes up?
Blinded by nostalgia,
Who wants to sleep in the city that never wakes up?

Rangkap kedua bermula dengan Alex Turner mengambil posisi seperti penyair didaktik, 'Kau sebenarnya seorang pelarian, tapi kau taktahu kau lari dari apa.'

Seperti banyak remaja sedih dan eksistensialis yang kononnya mencari makna hidup dan mencuba benda baru sebab nak fit-in dengan masyarakat atau sengaja buat identiti sendiri supaya nampak non-konformis. Alex Turner cakap, kau sebenarnya acah-acah saja. Sebab sebenarnya kau pun tak tahu kau nak apa. Ini cuma fasa dalam hidup kau dan kau akan keluar dari fasa ini dan bila kau kenang balik kau akan ketawa sebab kau pernah acah-acah 'rebel'.

Alex Turner terus mengambil posisi seperti seorang adiguru Jedi yang sedang menasihati padawan muda. Hidup kena terus kehadapan. Kita tak boleh tinggal di masa lalu, dalam romantisme sejarah. 'Siapa yang nak tidur dalam kota yang tak pernah bangkit, dibutakan oleh kenangan'.

Seperti kata Paul kepada Gil Pender dalam filem Midnight in Paris, ini lah falasi yang dinamakan Golden-Age Thinking. Bila Paul kata, dia sepatutnya bukan hidup pada abad ke-21. Paul kata dia sepatutnya hidup pada tahun 1920an, di Paris pada waktu hujan, dan dia boleh habiskan masa lapang di rumah Gertrude Stein sambil bersembang dengan Picasso, Hemingway dan Fitzgerald.

Tapi bila dia dan Adriana pergi ke era Belle Epoque, baru dia sedar. Artis zaman itu pula rasa zaman keemasan ialah zaman Renaissance. Jadi kitaran ini tak akan pernah habis.

Macam ada sesetengah orang Islam yang tak habis-habis tidur dalam sejarah kegemilangan Baghdad dan Andalusia, tanpa bekerja untuk kehidupan hari ini. Atau menggambarkan alangkah bertuahnya kalau hidup di Madinah ketika Rasulullah s.a.w. masih hidup, sedangkan ada saja orang yang bertemu baginda tapi munafiq jadi apakah jaminan kita akan beriman.

She was enraged by the way,
That the emperor put traps in the cage,
And the days she being dull,
Lead to nights reading beer bottles,

Rangkap ini menggambarkan anak muda berontak tadi, yang boleh jadi saja sebenarnya gambaran diri kita. Dalam rangkap ini, digambarkan perempuan itu (kata ganti diri 'she') marah kepada bapanya ('emperor') yang membataskan hidupnya, boleh jadi perempuan itu mahu lari dengan teman lelakinya tapi bapanya tak benarkan. Di mata perempuan itu, bapanya bertukar menjadi penguasa yang zalim. Dan sebagai respons, dia banyak habiskan masa di bar minum arak.

You're at a loss,
Just because,
It wasn't all that you thought it was,

Dalam keadan terdesak perempuan itu pun melarikan diri. Tapi apabila dia sedar dengan keputusan yang dia buat, barulah perasaan menyesal datang. Macam perasaan euforia dan adrenalin yang kita rasa waktu mula-mula berjaya lompat pagar sekolah nak pergi outing secara haram, tapi bila ditangkap warden barulah kita sedar yang euforia tadi cuma bertahan selama 7 minit.

Ustaz Nouman Ali Khan pun pernah cerita, yang waktu dia muda-muda dulu, dia pun acah-acah 'teen rebel' macam kita. Bahkan pernah satu ketika dalam waktu remaja, dia menjadi agnostik dan menolak terus kepercayaan bertuhan. Untuk beberapa ketika dia merasa hidupnya bebas, tapi ternyata perasaan 'bebas' itu cuma khayali dan berjangka hayat pendek. Macam waktu mula-mula kita habis SPM, kita akan melompat gembira berjalan melayang-layang, tapi kemudian datang persoalan, "now what?". Jadi persoalan itulah yang akhirnya mendorong ustaz Nouman Ali Khan kembali kepada agama dan sekarang menjadi figur tafsir kontemporari.

She said I want to sleep in the city that never wakes up,
And revel in nostalgia,
I know I said he wants to sleep in the city that never wakes up but,
Dorothy was right though

Tapi mungkin walaupun selepas kita faham bahawa kita tak mungkin tinggal selamanya dalam kota kenangan dan lari dari realiti. Kita tetap mahu tidur dalam kota yang tak pernah bangun.

Alex Turner menutup lagu ini dengan baris yang yang sangat mengesankan,

'Dorothy was right though'

Baris ini merujuk kepada watak Dorothy, yang walaupun dia telah melalui banyak peristiwa magis sepanjang keberadaannya di Land of Oz tapi yang tetap dirinduinya ialah kediamannya di Arkansas, walaupun kehidupannya di Arkansas tak ada 'scarecrow' bercakap, monyet terbang atau ahli sihir Oz.

Sebab kota kenangan akhirnya tetaplah, hanya kenangan lepas. Kita hidup pada masa sekarang.
1 like ·   •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 19, 2015 03:59 Tags: apresiasi, arctic-monkeys, puisi

April 17, 2015

Surat kepada isteriku di masa hadapan #1

aku ingat aku nampak kau di kelab Battleship
tapi rupanya pelanduk dua serupa
dia cuma mainan mata aku
di bawah lampu suram
dia dah sangat serupa
serupa sampai boleh jadi hantu kau
tapi harapan aku berkecai bila aku tanya,

"boleh aku panggil kau nama dia?"

-Alex Turner.

Ke hadapan isteri,

Ini adalah catatan pertama dari banyak lembaran yang bakal datang nanti. Saya tak tahu awak akan baca catatan ini pada tahun ke berapa (bahkan saya tak tahu kalau saya akan sampai pada fasa berkahwin dan berumur panjang), tapi untuk makluman, saya menulis catatan ini pada tahun 2015 dalam bulan April, dan malam ini sedang hujan. Saya tengah dengar lagu dari album Submarine.

Saya tak tahu awak sedang buat apa pada waktu sekarang. Bahkan saya tak tahu, ketika saya berada dalam bilik saya di Bangalore sekarang pada waktu malam kehujanan, awak berada dimana. Saya tak kenal nama awak, saya tak kenal wajah awak, saya tak tahu bila hari jadi awak. Saya tak tahu apa makanan kegemaran awak. Saya tak tahu awak suka ikan bilis dalam sambal nasi lemak awak macam mana, digoreng rangup atau lembut. Saya tak tahu adakah awak suka campur ais krim tab dengan air mineral macam saya. Saya tak tahu awak guna nombor Celcom atau Maxis. Saya tak tahu awak suka Lord of The Rings versi Peter Jackson atau JRR Tolkien. Saya tak tahu awak suka Batman versi Christopher Nolan atau Zack Snyder (filem Batman v Superman keluar tahun 2016, jadi waktu saya tulis catatan ini saya belum menontonnya lagi). Malah saya tak tahu kalau awak suka tengok filem pun.

Saya tak tahu lepas kita berkahwin adakah kita guna kata ganti diri 'saya-awak' atau yang lain. Mesti awak pelik kenapa saya tanya macam tu, sebab kalau awak baca novel tahun 90an, atau kalau awak pernah tengok filem Melayu lama (sehingga awal 90an), watak sepasang kekasih bercakap dengan kata ganti diri 'aku-kau'.

Saya ingat lagi, ada satu filem yang watak utamanya Faizal Hussein sebagai hero berdiri di hujung pantai, dan sebelah hujung yang lain ada seorang pelakon wanita yang saya tak ingat, kemudian Faizal Hussein letak dua tangan di mulutnya dan menjerit, "aku cintakan kau!" kemudian mereka berlari berpelukan.

Saya tak tahu macam mana kita boleh berkenalan, atau sebenarnya kita tak berkenalan pun. Saya berkahwin dengan awak sebab keluarga kita yang aturkan perkawhinan. Atau sebenarnya awak ialah orang yang saya memang kenal cuma saya tak pernah sangka kita akan berkahwin. Kalau dimasa hadapan, ketika awak membaca catatan ini, saya ada di sekitar awak, ceritakanlah semula jawapan kepada semua soalan-soalan saya di atas kepada saya yang di masa hadapan. Dan saya yang di masa hadapan akan membayangkan perasaan saya pada masa sekarang kalau saya tahu jawapan kepada semua soalan itu.

Jadi awak lihat, banyak perkara dalam hidup kita yang disembunyikan Tuhan.

-Mungkin pada waktu saya sedang menulis catatan ini, awak sedang baring-baring di atas katil dan buka facebook awak dan pada waktu ini mungkin awak belum berkawan lagi dengan saya.

Ketika Tuhan menyembunyikan awak dari saya, mungkin Tuhan sedang menunjukkan kepada saya jalan-jalan lain ke syurga. Mungkin kalau saya bertemu dengan awak terlalu awal, saya tak menulis sajak. Bahkan saya tak akan tuliskan catatan-catatan nasihat ini kepada awak dan diri saya di masa hadapan.

Banyak hal yang terjadi sekarang mungkin tak difahami oleh diri saya pada masa sekarang yang sedang bujang. Kenapa kadang-kadang saya rasa seperti dunia berkonspirasi menentang saya. Tapi dalam retrospektif, barulah saya tahu kenapa Tuhan memetakan perjalanan hidup saya demikian. Macam waktu saya dalam tahun kedua MBBS, saya pernah gagal sekali dalam ujian internal. Selepas peristiwa itu barulah saya faham, disebabkan kegagalan saya itu, saya telah berusaha bersungguh-sungguh untuk peperiksaan yang lebih besar.

Saya tak tahu apa yang mungkin awak dan diri saya di masa hadapan dah lalui bersama. Tapi saya cuma nak berpesan hal-hal yang tak selesai dengan Tuhan dan kita pada hari ini, yang disembunyikan dari pengetahuan kita, mungkin baru difahami esok hari.

Semalam saya dan rasydan berbincang tentang reka bentuk kulit buku saya, Sajak kepada Tuhan. Oh, diri saya di masa hadapan sudah terbit berapa buah buku? Adakah saya masih menulis sajak?

Jadi semasa kami berbincang, Rasydan jadi resah dengan saya. Sebab permintaan saya untuk kulit buku SKT sangat samar-samar, saya tak meletakkan panduan yang jelas kepada Rasydan apa yang saya mahu. Dan saya sedar hal itu. Kemudian saya katakan kepada Rasydan, hal ini macam saya menunggu awak di lapangan terbang, tapi saya tak kenal awak. Jadilah saya orang yang tak tahu apa yang dicarinya, macam waktu saya minta Rasydan buat kulit buku saya.

Bangalore, April 2015.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 17, 2015 09:35

February 15, 2015

Jarak (Sapardi Djoko Damono), dan tujuan hidup.

Jarak

dan Adam turun di hutan-hutan
mengabur dalam dongengan
dan kita tiba-tiba disini
terngadah ke langit; kosong sepi.

Hujan Bulan Juni

Dalam filem GIE, ada satu babak yang sangat menyentuh. Ira menerima sepucuk surat dari Soe Hok Gie, bersama puisinya. Babak ini menunjukkan Ira menekup mulut kerana menahan sebak membaca puisi Gie sambil ada solo cello bermain dengan nada sedih di latar, ada juga potongan klip Gie yang diselang-seli sambil suara Gie membacakan puisi terakhirnya.

Begitu menonton babak Ira membaca puisi Gie membuat kita bertanya, bagaimana sebuah susunan kata-kata membangkitkan perasaan yang sedemikian dalam.

Puisi yang bagus, tidak sekadar meninggalkan kita terhenyak di kerusi perasaan seperti seorang lelaki yang ditinggalkan kekasih pada malam hari jadinya, ia juga meninggalkan pertanyaan yang sial kepada kita.

Seperti lelaki yang ditinggalkan kekasihnya, "hei perempuan, apa ada yang membuatmu bosan dengan cinta?"

Dalam puisi Gie kepada Ira, ada baris yang berbunyi,

"tapi aku ingin mati di sisimu sayangku,
setelah kita bosan hidup dan terus bertanya-tanya
tentang tujuan hidup yang tak satu setanpun tahu"

(Surat terbuka kepada Gie,
Gie, tujuan hidup ialah hal yang tak pernah selesai. Tujuan hidup ialah kesedaran yang paling sakral. Kau boleh analogikan seperti Neo yang berjumpa Morpheus dan ditarik keluar dari 'the Matrix'. Bila Neo tahu yang alam sedar nya, realiti yang dia hidup sehari-hari, cuma khayalan yang dicipta oleh sebuah komputer. Bila kau bertanya kepada Ira tentang hal itu, maknanya kau pun sedar hidup kita bukan cuma untuk mati seperti biri-biri. Tak semua orang beroleh dengan kesedaran itu Gie, apatah lagi untuk bosan hidup dan bertanya-tanya tentang itu.)

Membaca "Jarak".

Sapardi bermula dengan "dan Adam turun di hutan-hutan". Kalimat 'dan' menunjukkan seperti puisi ini sudah dipatahkan dari sebuah prosa yang lebih panjang. Kalimat 'dan' di awal baris seperti memberitahu secara halus, 'kau telah terlambat tiba'.

Seperti pelajar yang lewat tiba ke dewan kuliah, kita sudah ketinggalan bahagian awal dari bab matapelajaran oleh pensyarah, atau dalam pembacaan kali ini, oleh pemuisi.

Hal ini tentulah jelas, kita nyata tersangat lewat dalam garis masa dari waktu Adam turun ke bumi, secara fizikal atau metafora. Sekaligus persoalan judul puisi ini, 'Jarak' yang tak kita temukan kata 'Jarak' dalam pusi. Menggambarkan betapa jauhnya kita dari zaman bapa kita, yang seterusnya menimbulkan beberapa masalah kepada kita.

'dan Adam turun di hutan-hutan/ mengabur dalam dongengan'

Kita tak pasti, bapa kita turun dari syurga ke mana. Kita menjawab di hutan-hutan, kerana ada yang berkata, Adam turunnya disini, yang satu lagi berkata Adam turunnya disana. Akhirnya cerita bapa kita Adam mengabur antara yang benar dan yang dikatakan terjadi demikian.

'dan kita tiba-tiba disini/ terngadah ke langit; kosong sepi.'

Keberadaan kita disini seolah-olah muncul dalam sekelip mata, kerana kita sudah lupa dengan bagaimana kita berada di atas dunia. Kita terngadah ke langit, kosong sepi.

Baris kedua boleh dibaca dengan dua faham. Langit itu yang sebenarnya kosong dan sepi. Syurga telah melupakan kita.

Atau, langit yang penuh dengan bintang seperti selimut yang dicucuk lubang-lubang kecil dengan jarum. Tapi hati kita yang tetap kosong dan sepi, kerana kita tak mendapatkan makna dari itu semua. Kita tak mengerti bapa kita Adam berasal dari syurga. Kita lupa.

Jika kepada muslim, Sapardi mengajarkan kita, seperti kata almarhum Tuan Guru Nik Aziz, kita sudah terlalu jauh dengan nabi Muhammad (s.a.w) jadi bertanyalah kepada diri, Islam yang kita bawa apakah Islam nabi, atau Islam ikut-ikutan dari siapa. Kita sudah berjarak terlalu jauh dengan mata air yang menjadi punca sungai.

Apabila kita kenal dengan Adam bapa kita, dalam kata lain apabila kita kenal dengan kebenaran yang asalnya. barulah kita mengerti mengapa kita ada disini. Bukan hidup untuk sekadar mati.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 15, 2015 12:38 Tags: puisi, sapardi

October 22, 2014

Hujan dalam komposisi (3), Sapardi

Dan tik-tok jam itu kita indera kembali akhirnya

terpisah dari hujan

Kolam: Buku Puisi

Ada orang bertanya, apa yang saya suka. Selain filem Perancis, British accent, puisi Sapardi, Gibran dan hal-hal lain. Saya juga suka awan, hujan dan petrichor.

Awak tahu kenapa saya sangat mencintai hujan, sebab waktu hujan turun ialah waktu yang paling damai di atas dunia. Sebab itulah orang banyak mengatakan waktu hujan ialah waktu yang paling baik untuk tidur, atau dengar lagu Yann Tiersen di tepi jendela.

Hujan ialah isyarat dari Tuhan kepada kita. Al-Quran 30:48-49.

Hujan ialah Tuhan menghidupkan tumbuhan yang mati, dan hati kita juga, dengan mengambil peringatan darinya. Al-Quran 35:9/ 45:5.

Petrichor. Dahulu sewaktu mula-mula datang ke India, tempat kami beberapa lama dilanda kemarau, dan satu hari dalam Dewan Diseksi Kadaver jam tiga petang kami dengar bunyi yang tak lari dari bunyi waktu air hujan jatuh pada bumbung. Mulanya saya ingat bunyi kipas, tapi kemudian ada seorang perempuan yang menegur, katanya bau ini bau hujan.

Petrichor berasal dari perkataan Greek, petra yang bermaksud batu dan ichor, sejenis cairan yang mengalir dalam pembuluh darah dewa-dewa dalam mitos Greek.

Petrichor ialah bau khas yang muncul dari hujan pertama selepas kemarau yang panjang. Jadi selepas ini kalau awak berdiri di tepi jendela waktu hujan dan ada bau yang istimewa dari tanah, itulah petrichor!

Hujan pun sangat dekat dengan penyair besar Romantis kegemaran saya dari Indonesia, Sapardi Djoko Damono. Sajak yang paling terkenal tentulah Hujan Bulan Juni. Tapi kali ini saya cuma nak bercakap tentang sebuah sajak beliau tentang hujan yang lain iaitu Hujan dalam komposisi 3,

Dan tik-tok jam itu kita indera kembali akhirnya
terpisah dari hujan

-Sapardi Djoko Damono, Hujan dalam komposisi 3.

Sajak ini cuma terangkum dalam dua baris, seingat saya cuma ada dua yang bentuknya begini yang lain ialah sajak Tuan.

Walaupun ringkas, tapi sajak ini sebenarnya sarat dengan emosi. Ingatkah yang saya sebut di awal tadi, waktu hujan ialah waktu yang paling damai sekali di atas dunia.

Jadi waktu hujan turun ialah waktu yang terpisah dari dunia nyata, berjalan dengan sangat perlahan dan menarik lengan awak dengan lembut ke dalam dirinya yang tenang.

Keadaannya ialah seperti saya yang baru sahaja selesai peperiksaan tempoh hari, atau awak baru sahaja menghabiskan hari yang sangat sibuk hingga kudrat tak terasa sampai lagi kepada tubuh, apabila dunia terasa sempit dan manusia-manusia sekeliling hanyalah sekumpulan bayang-bayang judgemental yang menghentam awak secara kolektif dan masa lapang hanya wujud antara jarak kerja yang sekarang dan seterusnya.

Ketika itulah, Tuhan menurunkan isyaratnya.

Sebab hujan juga menurunkan perasaan damai ke dalam hati awak. Jadi waktu itu, seolah-olah awak, saya dan mereka telah mengabur ke ruang waktu hujan turun. Kita ialah titis-titis yang turun ke bumi, yang memetik daun-daun untuk menari, yang singgah pada bumi yang kontang tanda Tuhan sentiasa ada. Waktu itu kita bukan lagi jasad yang berdiri tepi jendela, waktu itu kita telah menjadi hujan itu sendiri. Damai dan bebas, alangkah.

Tapi waktu itu, tanpa diduga ada kita direnggut ke alam nyata oleh tik-tok jam. Sebab itulah Sapardi menyatakan dari bunyi jam itu, kita indera kembali akhirnya. Maksud kata indera ialah berupa, atau berwujud semula. Jadi selepas kita didakap dengan perasaan damai kemas-kemas, waktunya untuk kembali kepada dunia nyata. Tuhan menurunkan hujan sebagai waktu senggang kepada hari yang sibuk, supaya kita sedar bahawa matlamat akhir bukanlah hanya untuk menjadi seperti mesin yang bekerja sampai habis usia.

Dan kerehatan pun bukan lah untuk selamanya. Dunia tempat berpenat, akhirat tempat berehat.

Jadi walaupun kita terpisah dari hujan, paling tidak Tuhan telah membenarkan kita merasai damai.


Dan sesungguhnya sebelum hujan diturunkan kepada mereka, mereka benar-benar telah berputus asa.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 22, 2014 01:29 Tags: puisi, sapardi

September 25, 2014

Puisi Sapardi

/1/
jarak antara kota kelahiran
dan tempatnya tinggal sekarang
dilipatnya dalam salah satu sudut
yang senantiasa berubah posisi
dalam benaknya

/2/
jarak itupun melengkung
seperti tanda tanya

/3/
buru-memburu dengan jawabannya

Kolam: Buku Puisi Sapardi Djoko Damono

Sajak ini ialah pertanyaan diri kita yang telah lama teredam, mungkin pertanyaan itu tertinggal di balai menunggu lapangan terbang 5 tahun dahulu, atau hilang di bawah almari seperti 2 keping syiling itu yang kita sendiri tak ada ingatan tentangnya. Kenapa kau datang ke India, England, Kaherah atau Irbid.

Jawapan pertanyaan itu mungkin telah kau renyukkan bersama nota pertama kuliah yang dibuang usai peperiksaan. Soalnya, selepas setahun, dua tahun, kau tak pernah peduli lagi kenapa kau disini. Ah esok lagi ke dewan kuliah, tugasan hospital belum beres.

Seperti puisi ini, pertanyaan kenapa kau kesini telah disimpan jauh di dalam kepala kau, dan akhirnya kau pun tak pasti, kenapa kau disini. Kita bukanlah menjadi dewasa kerana kita membesar, tapi kerana kita telah lupa girangnya menjadi kanak-kanak. Kau pun tahu kan, kita telah jauh dari syurga, dan kita tak lupa kenapa kita disini.
2 likes ·   •  1 comment  •  flag
Share on Twitter
Published on September 25, 2014 10:02 Tags: puisi, sapardi

Asrar-e-khudi: puisi Plato, Allama Sir Iqbal

VII (Pengaruh Pemikiran Plato)

Plato, seorang zahid dan pendita utama.
Adalah seorang daripada golongan kambing purba itu.
Pengasus beliau sesat dalam gelap gelita idealisma
Dan menjatuhkan kasutnya di tengah batu-batu yang benar.
Dia sangat terpesona oleh yang ghaib
Hingga ia tidak mengira tangan, mata dan telinga.
"Untuk mati," katanya, "ialah rahsia Hidup:
Kandil itu mulia setelah dipadam".

Sekali baca tentulah tidak dapat tidak harus diakui ada beberapa frasa yang janggal dalam puisi ini (terjemahan Melayu),

pengasus beliau sesat...
...menjatuhkan kasutnya ditengah batu-batu yang benar

saya cuba mencari dalam laman sesawang DBP untuk kata kasus, pengasus tetapi hasil carian tak menepati konteks puisi.

Kemudian saya cuba dapatkan versi asal puisi ini, yang ditulis dalam bahasa Farsi (menurut Iqbal, Farsi sahaja yang dapat mengungkapkan keindahan puisinya) dan terjemahan bahasa Inggeris:

Plato, the prime ascetic and sage
Was one of that ancient flock of sheep.
His Pegasus went astray in the darkness of idealism
And dropped its shoe amidst the rocks of actuality.
He was so fascinated by the invisible
That he made hand, eye, and ear of no account.
“To die,” said he, “is the secret of Life:
The candle is glorified by being put out.

The Secrets of the Self: A Philosophical Poem 1944

Dan tentulah, terjemahan bahasa Inggeris ini menyuluhkan kefahaman pada kita tentang puisi yang kabur dalam terjemahan Melayunya.

Seperti tadabbur al-Quran juga, puisi akan lebih jelas bila kita maklum tentang sebab ditulis, suasana ketika ia ditulis. Jadi selepas beberapa bacaan ringkas tentang Asrar-i-Khudi, antara dapatan saya, Iqbal sangat-sangat memusuhi pemikiran falsafah Greek, terutama Plato.

Jadi puisi ini bolehlah dibaca dengan kefahaman, ia adalah serangan Iqbal terhadap Plato dan pengaruhnya kepada pemuda-pemuda Muslim.

Baris awal dibuka dengan kecaman Iqbal kepada Plato, merujuk Plato sebagai biri-biri purba. Siapa yang maklum dengan projek pembodohan tentulah biasa dengan terma biri-biri (atau apa sahaja binatang ternak) sebagai metafora golongan yang taksub kepada pegangan dengan membiri-biri buta tanpa pernah memanfaatkan pemikiran untuk menilai kebenaran. Jadi menurut Iqbal, pada zaman dahulu kala, projek pembodohan telah lahir dalam bentuk Plato yang menjajah pemikiran anak-anak muda yang taksub dengan pemikiran falsafah Greek.

Iqbal kemudian menamakan para pentaksub Plato sebagai Pegasus (terjemahan yang lebih tepat dalam bahasa Inggeris). Mungkin atas beberapa sebab, Pegasus secara tradisi adalah simbol keperwiraan dan daya intelek, tetapi dalam baris ini Iqbal menyatakan Pegasus itu tersesat dalam kegelapan idealisme dan dalam kekalutannya sehingga tercabut kasutnya, dan lihat, kemanakah kasutnya terjatuh? Di atas batu-batu alam nyata/realiti. Ini untuk mempersendakan pentaksub Plato yang terlalu asyik berwacana tentang hal-hal yang kabur/teori hingga mereka terlupa tentang hal nyata. Boleh juga, wacana kencang dengan terma-terma asing tapi tak ada hasil.

Kemudian, Plato digambarkan seorang yang terlalu asyik dengan hal-hal yang ghaib hingga Plato mengabaikan indera seperti tangan (sentuhan), mata (penglihatan), dan telinga (pendengaran). Ini berkaitan dengan hakikat pengetahuan yang berbeza definisi antara Plato dan Iqbal. Iqbal berpendapat hakikat kebenaran cuma dapat dicapai bermula dengan apa yang didapati dari indera, dengan merujuk beberapa ayat al-Quran tentang arahan Tuhan supaya melihat tanda-tanda (ayat-ayat) Allah pada ciptaan bumi dan langit. Tetapi menurut Plato (Plato menurut Iqbal), hakikat kebenaran tidak boleh dicapai
dengan indera, kerana menurut Plato dunia disekeliling kita ialah persepsi dari indera (seperti contoh dalam sains moden, imej yang kita pandang sebenarnya bukan imej secara mutlak yang kita lihat, contoh imej kereta, tetapi ia adalah cas-cas elektrik yang dibawa oleh saraf optik ke occipital lobe, dan tentulah di occipital lobe, bukanlah imej kereta yang terbentuk tetapi persepsi imej sebuah kereta). Jadi kerana persepsi realiti bukanlah realiti yang mutlak, menurut Plato kebenaran tak dapat dicapai dengan indera.

Kemudian Iqbal (mungkin) mempersendakan Plato yang yang menyatakan kematian ialah rahsia kehidupan. Pentaksub Plato memuja lilin yang terpadam, apakah guna lilin yang terpadam?
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 25, 2014 09:52 Tags: iqbal, persian, puisi

Telinga (Sapardi Djoko Damono) dan al-Baqarah:44

Telinga

"Masuklah ke
telingaku," bujuknya.
Gila:
ia digoda masuk ke telinganya sendiri
agar bisa mendengar apa pun
secara terperinci -- setiap kata, setiap huruf,
bahkan letupan dan desis
yang menciptakan suara.

"Masuklah," bujuknya.
Gila ! Hanya agar bisa menafsirkan sebaik-
baiknya apa pun yang dibisikkannya
kepada diri sendiri.

Perahu Kertas Sapardi Djoko Damono

Bacaan pertama tentulah ini sajak yang sangat aneh. Kenapa telinga mengajak masuk kedalamnya? Telinga yang bercakap itupun keganjilan samada telinga sendiri atau telinga orang lain. Bagaimana kita dapat memasuki telinga sendiri?

Tanggapan pada bacaan kedua, sajak ini tentang sikap manusia yang bermuka-muka, yang mengenakan topeng di hadapan orang lain, sekaligus perkataan yang keluar dari mulutnya, walaupun terdengar enak di telinga orang lain, tapi kepada hatinya sendiri terdengar asing. Seolah yang hati, telinga yang mendengar ialah orang lain, dan yang bercakap ialah orang lain.

Lagi, ini adalah seruan kepada orang yang banyak berkata-kata, memberi nasihat kebaikan kepada orang lain, justeru melupakan diri sendiri, semoga setiap kata-kata yang lahir, masuk kedalam lubang telinga sendiri dahulu. Jangan menjadi seperti pendita Yahudi dalam al-Quran 2:44
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 25, 2014 09:46 Tags: puisi, sapardi

membaca puisi

Faisal Mat Zawi
kumpulan catatan kecil sesudah membaca puisi.
Follow Faisal Mat Zawi's blog with rss.