Lepaskanlah

Kelmarin aku bertemu kembali dengannya. Sugul, serabai, dan yang lebih menyedihkan, dia dalam keadaan yang sangat terseksa. 50 tahun sudah berlalu. Selama 50 tahun itu jugalah dia bersuamikan lelaki berdarjat tetapi bersikap binatang. Sepatutnya akulah lelaki selayaknya untuk dia. Kerana satu kesilapan kecil di masa lampau, aku kehilangannya. Tapi bagiku, kehilangannya bagaikan baru sahaja berlaku semalam. Kerana dialah, aku berubah menjadi obses. Obses dek cinta tidak kesampaian. Dengan ilmu dan peralatan yang sedia ada di zaman ini, aku tinggalkan ‘hidup’ di belakang untuk mencari dia yang aku tinggalkan di ‘belakang’. Ya, telah aku cipta sebuah mesin masa untuk diriku. Hanya perlu untuk aku buktikan ianya boleh berfungsi atau tidak. Kepenatan, aku baring menghilangkan lelah yang tersisa.
Semalaman aku tidak melelapkan mata. Dan mungkin juga malam-malam berikutnya kalau aku biarkan. Hati ini berkecamuk ganas. Otak pula berputar ligat mencari konklusi. Tidak senang duduk aku dibuatnya. Ah, persetankan! Apa hendak jadi, jadilah!
Lalu aku melangkah ke dalam mesin itu. Aku tekan punat-punatnya, untuk kembali ke masa sebelum aku kehilangan dia - XX/XX/2XXX. Sebelum aku tekan butang ‘Initiate’, aku pastikan mesin itu dalam keadaan sedia membawa aku kembali ke zaman ini. Dan jam tanganku telahpun diselaraskan untuk mengaktifkan proses itu biarpun di mana aku berada – baik dimensi manapun, apa zaman sekalipun. Akanku pastikan kau menjadi milik aku.
‘Initiate’. 10, 9, 8, 7, 6, 5, 4, 3, 2, 1. Terkatup mata aku dek refleks kepada cahaya yang terang-benderang yang terhasil dari mana datangnya. Terasa seram sejuk sebentar diriku ini sebaik jasad aku mula bertukar menjadi zarah-zarah halus yang lama-kelamaan hilang lalu teralih ke destinasi yang akan dituju. Dalam sekelip mata itu jugalah terlintas di fikiran – qada’ dan qadar itu bakal aku ubah.
Akhirnya aku tiba di destinasi yang aku kehendaki, tepat pada XX/XX/2XXX. Di bawah terik matahari itu aku melangkah ke kolej di mana ‘aku’ berada. Petang itu sepatutnya ‘aku’ menemani dia ke sebuah majlis perpisahan kawannya. Tapi ‘aku’ terbungkang nyenyak di atas katil di kolej. Setibanya aku di depan bilik, aku hentak pintu itu sekuat-kuatnya. Lalu ‘aku’ pun membuka pintu dalam keadaan separuh mamai. Aku sampaikan pesan supaya jangan terlupa program petang ini. Dalam keadaan kelam-kabut menyedari bahawa ‘aku’ hampir terlewat, ‘aku’ bersiap. ‘Aku’ berlalu pergi ke tempat hendak dituju sambil terpinga-pinga, siapakah gerangan diri ini membawa pesan.
Aku tunggu dan perhati untuk pastikan segalanya berjalan lancar. Di bawah kolej, ‘aku’ bertemu si dia dan kemudian bersama mengatur langkah ke majlis tersebut. Padan muka kau perampas, aku telah pastikan tiada peluang untuk kau merebut dia dari ‘aku’.
Dalam masih tersenyum, aku tekan punat jam tanganku. Tiada apa berlaku. Aku tekan sekali lagi. Pun masih tiada apa-apa berlaku.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on August 04, 2013 12:37
No comments have been added yet.